Sabtu, 2 November 2013

PERPUSTAKAAN SULTANAH BAHIYAH PENYOKONG UTAMA MAHASISWA UUM



iKON HOTSPOT - Perpustakaan Sultanah Bahiyah ditubuhkan pada tahun 1984 yang dirasmikan oleh Tuanku Alhaj Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah pada 21 September 1999. Perpustakaan ini dinamakan atas nama, Yang Teramat Mulia Almarhumah Tuanku Hajjah Bahiyah binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Sultanah Kedah. Bangunan yang ditempatkan ditengah - tengah kampus ini adalah khas bertujuan untuk memberi kemudahan kepada mahasiswa dan kakitangan UUM. Dengan keluasan 21, 170sq ini mempunyai kapasiti tempat duduk mencecah sehingga 1000 pengguna dan dilengkapi dengan ruangan perbincangan dan bilik karel. Selain itu, Perpustakaan Sultanah Bahiyah kini dilengkapi bangunan baru yang bergabung dengan bangunan lama perpustakaan ini bagi mengatasi kapasiti warga kampus dan sumber maklumat yang semakin bertambah.


Suasana dalaman  perpustakaan ini sangat mengagumkan kerana diserikan dengan perabot - perabot terkini dan hiasan dalaman yang sangat menarik. Sesuai dengan fungsi hiasan dalaman di perpustakaan ini adalah untuk menarik perhatian dan memberi keselesaan warga kampus UUM. Pelbagai kemudahan yang lain disediakan di Perpustakaan Sultanah Bahiyah UUM ini bagi kemudahan warga kampus selain gedung ilmu dalam kampus UUM ini. Menyediakan sumber maklumat dan bahan-bahan yang terkini mengikuti perkembangan semasa dalam mahupun bahan dari luar negara.Tidak hairanlah Perpustakaan ini pernah menerima anugerah Best Innovation Award - Administration Innovation & Creative Group IPTA Category pada tahun 2010

Menurut Ketua Pustakawan, Encik Salleh Hudin Mustaffa berkata: "pihak perpustakaan sentiasa mengemaskini dan menambahbaik keperluan - keperluan terkini yang digunakan di perpustakaan ini agar pihak kami sentiasa dapat menyediakan bahan dan sumber maklumat yang terkini untuk warga kampus. Selain itu, pihak kami juga kini mula rancak memberi kemudahan Sumber Elektronik dan Online untuk memudahkan lagi pengguna mengakses hanya dihujung jari".



"Perpustakaan Sultanah Bahiyah banyak membantu saya dalam mencari maklumat terutamanya, disini ibarat satu bangunan yang banyak memberi sokongan kepada mahasiswa dalam menyiapkan tugasan mahupun kajian. Selain itu juga, suasana dalaman yang amat menyamankan dan selesa membuatkan kita lebih fokus disini". Ujar Camelia Aziz, siswi Ijazah Sarjana Muda Sains Ekonomi. IKON HOTSPOT berharap Perpustakaan Sultanah Bahiyah sentiasa cemerlang dan terbaik dalam menyediakan perkhidmatan sumber maklumat kepada mahasiswa UUM. 



iKON HOTSPOT

Selasa, 1 Oktober 2013

OBJEKTIF UUM

Universiti Utara Malaysia ditubuhkan untuk mengembangkan dan memajukan pendidikan pengurusan. Program akademiknya tertumpu kepada bidang-bidang pengurusan, perakaunan, ekonomi, teknologi maklumat, pentadbiran awam, pengurusan sumber manusia, keusahawanan, kewangan dan perbankan, undang-undang, pemasaran, pengurusan teknologi, linguistik terapan, komunikasi, kerja sosial, multimedia, pendidikan, sains pemutusan, hal ehwal antarabangsa, pengurusan perniagaan, pelancongan, pentadbiran muamalat, pengurusan pembangunan, logistik dan pengangkutan, hospitaliti, pengurusan risiko dan insurans, teknologi media, perniagaantani, matematik perniagaan, statistik industri dan kaunseling.

Universiti Utara Malaysia juga memainkan peranan sebagai pemangkin pembangunan di kawasan utara Semenanjung. Prasarana dan kemudahan asas yang disediakan serta tenaga manusia di universiti ini menjadi penggerak kepada kegiatan sosioekonomi yang lain.

Di samping pengajaran dan penyelidikan, universiti ini juga memberi sumbangan kepada perkembangan sosial, ekonomi dan intelektual di kawasan ini.  Universiti memainkan peranan ini dengan melibatkan dirinya dalam projek kemasyarakatan, sama ada secara sendiri mahupun dengan kerjasama badan-badan kerajaan dan sektor swasta. Ke arah matlamat tersebutlah universiti ini sedang bergerak.

Objektif ini dapat dirumuskan kepada tiga perkara seperti berikut:
  •  Untuk berperanan sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang pengurusan.
  • Untuk menjadi pusat rujukan dalam semua aspek pengurusan.
  • Untuk menjadi pusat sumber yang terulung dalam bidang pengurusan.
Sumber: Portal Web Rasmi Universiti Utara Malaysia

VISI DAN MISI UUM

Visi :

Menjadi Universiti Pengurusan Terkemuka


Misi :
Merealisasikan Universiti Utara Malaysia sebagai pusat  kecemerlangan pembelajaran dan pengajaran, penyelidikan, penerbitan dan perundingan yang terkemuka dalam bidang pengurusan secara berterusan demi menghasilkan modal insan yang mampu dan beriltizam membangunkan negara dan kemanusiaan.



Sumber: Portal Web Rasmi Universiti Utara Malaysia

TENTANG UUM

Universiti Utara Malaysia (UUM) ialah universiti keenam negara yang secara rasminya ditubuhkan pada 16 Februari 1984. UUM juga satu-satunya universiti yang ditetapkan supaya mengkhusus kepada bidang pengurusan sejak awal penubuhannya.

Perancangan pembinaan universiti keenam ini bermula apabila Kementerian Pendidikan Malaysia merancang untuk menubuhkan universiti ini dalam bulan Ogos 1983. Pada 19 Oktober 1983, Jemaah Menteri telah memberi kelulusan rasmi ke atas projek yang pada waktu itu dinamakan “Projek Universiti Keenam”, di Kedah. Beberapa bulan kemudian, pejabat sementara universiti keenam yang diberi nama Universiti Utara Malaysia ini dibuka secara rasminya pada 15 Februari 1984 di Jitra.

Kampus tetap UUM ini mula beroperasi pada 15 September 1990 yang merupakan bekas lombong bijih timah dengan dikelilingi pemandangan indah hutan hujan tropika dan bukit-bukau. Jarak kampus UUM yang baru ialah 48 km di utara Alor Setar dan 10 km di timur Changlun, sebuah pekan di kecil berdekatan dengan sempadan Malaysia-Thai di Lebuh Raya Utara-Selatan. Di dalam kampus itu juga terdapat dua batang sungai yang mengalir di tengah-tengahnya iaitu Sungai Sintok dan Sungai Badak.

Kampus Sintok yang berharga RM580 juta ini telah dirasmikan oleh KDYMM Tuanku Canselor pada 17 Februari 2004. Bangunan-bangunan utama yang terdapat di kampus ini ialah Bangunan Akademik, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Bangunan Pentadbiran Canselori, Masjid Sultan Badlishah, Dewan Mu’adzam Shah, Dewan Tan Sri Othman, Kompleks Sukan, Varsity Mall, Bangunan Budi Siswa dan Kompleks Konvensyen.

Mulai Januari 2008, penstrukturan semula sistem akademik universiti dilakukan bertujuan menyediakan struktur yang kukuh bagi meningkatkan bilangan pascasiswazah dan melonjakkan nama UUM di pentas dunia. Universiti mestilah bersifat sejagat kerana ilmunya merentas sempadan Malaysia. Dalam penstrukturan semula ini, sebanyak 13 fakulti digabungkan menjadi tiga kolej utama iaitu UUM COB (UUM College of Business), UUM CAS (UUM College of Arts and Sciences) dan UUM COLGIS (UUM College of Law, Government and International Studies).

Langkah yang diambil ini selari dengan kenyataan Perdana Menteri dan Menteri Pengajian Tinggi bagi meningkatkan bilangan pascasiswazah sehingga 100,000 menjelang 2010. Strategi utama ini terangkum dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara 2007-2010.

Bagi melonjakkan nama UUM sebagai sebuah Universiti Pengurusan Terkemuka dan Universiti Penyelidikan dalam sains sosial, satu Pelan Transformasi UUM 2011-2015 dan 2016-2020 telah dilancarkan oleh Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Mohamed Mustafa Ishak sempena Majlis Amanat Naib Canselor 2011 di Dewan Mu’adzam Shah.

Pelaksanaan Pelan Transformasi UUM merupakan “roadmap” yang dibahagikan kepada dua fasa. Fasa pertama bermula dari 2011 hingga 2015 yang akan memberikan tumpuan untuk meletakkan UUM di peta akademik tempatan dan bergerak secara sistematik serta terancang. Tumpuan lebih akan dibuat untuk menjayakan pelan transformasi pertama tanpa mengabaikan fasa kedua Pelan Transformasi yang akan bermula pada 2016 hingga 2020.

 Sumber: Portal Web Rasmi Universiti Utara Malaysia

TENTANG LAMAN iKON UUM

Menyahut visi Universiti Utara Malaysia sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka, simbolik iKON UUM diperkenalkan sebagai inspirasi buat semua untuk mengenali lebih dekat dengan Universiti Utara Malaysia. Matlamat kewujudan laman iKON UUM ini khusunya adalah untuk memberi pendedahan kehidupan kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mana keunikan dan keindahan kampus universiti di Sintok, Kedah ini. Pembangunan kemudahan dan prasarana Universiti Utara Malaysia menjadi tumpuan dalam laman iKON UUM ini untuk dipertontonkan. Selain itu juga, laman iKON UUM akan berkongsi kisah-kisah kejayaan Universiti Utara Malaysia untuk tatapan masyrakat bersama.

Segmen iKON HOTSPOT merupakan salah satu segmen dalam blok ini yang menceritakan keindahan dan kemudahan yang disediakan  kampus Universiti Utara Malaysia dalam memberi keselesaan kehidupan kampus dikalangan warga kampus, khususnya mahasiswa. iKON VARSITY pula sebuah segmen bersama warga kampus yang akan ditembual untuk berkongsi kehidupan kampus di Universiti Utara Malaysia. Sementara itu, info berita aktiviti-aktiviti warga kampus akan disiarkan dalam segmen BULETIN iKON. 

Perkongsian iKON UUM ini sedikit sebanyak memberi maklumat dan cerita tentang Universiti Utara Malaysia. Nama 'iKON UUM" ini dipilih melihat Universiti Utara Malaysia sebagai ikon sebuah universiti pengurusan terkemuka dunia. Sekaligus, memberi impak kepada pembangunan korporat Universiti Utara Malaysia (UUM).